Selamat datang ke laman rasmi USNO Kawasan DUN N53 Sekong

Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia,Pejuang MA63 yang disalah tafsir,bukan pengkhianat hak Sabah.

Sebuah pencerahan yang wajar difahami umum

Unit Media & Propaganda USNO Karambunai

7/8/20253 min read

Oleh kerana kehangatan isu MA63 semakin menjadi senjata politik dalam kalangan sesetengah individu, wajar kita bertanya, apakah wajar seseorang yang berjuang dengan pendekatan ilmu dan fakta dituduh tidak peduli atau menolak perjuangan MA63? Inilah tuduhan berat yang dilemparkan oleh Musli Oli terhadap Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Presiden USNO dan bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat dalam podcast Sekali Ketuk. Tuduhan ini tidak sahaja tidak berasas, malah memutarbelitkan kebenaran demi kepentingan naratif politik sempit.

Dalam kenyataannya, Musli Oli menyifatkan Pandikar sebagai tokoh yang tidak pernah memperjuangkan MA63 dan beberapa kali menolak usul berkaitannya di Parlimen. Lebih parah, beliau turut merendahkan taraf intelektual politik Bumiputera Islam seolah-olah pemimpin Sabah, khususnya Pandikar, jahil mengenai hak negeri sendiri. Tuduhan ini bukan sekadar tidak tepat ia merupakan penghinaan terhadap usaha seorang tokoh yang selama lebih 40 tahun berada di tengah pentas nasional memperjuangkan kedudukan Sabah secara konsisten dan bijaksana.

Tan Sri Pandikar bukan sekadar memahami MA63, beliau mengambil langkah luar biasa dengan menerbitkan buku Berpisah Tiada pada tahun 2017. Buku ini merupakan hasil kajian dan pandangan beliau mengenai sejarah pembentukan Malaysia dan implikasi MA63 terhadap Sabah. Melalui penulisan tersebut, Pandikar menekankan betapa pentingnya rakyat memahami konteks sejarah sebenar, dokumen seperti Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), dan 20 Perkara yang menjadi asas kepada penyertaan Sabah dalam Malaysia.

Tindakan ini membuktikan bahawa beliau memperjuangkan MA63 bukan sekadar melalui ceramah atau ucapan politik, tetapi melalui pencerahan ilmu, satu pendekatan yang jarang diambil oleh ahli politik.

Musli Oli turut menuduh Pandikar menolak perbahasan MA63 ketika menjadi Speaker Dewan Rakyat. Tuduhan ini jelas menunjukkan ketidaktahuan tentang fungsi seorang Speaker. Perlu ditegaskan, seorang Speaker tidak boleh sewenang-wenangnya meluluskan atau menolak usul, semua tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat Parlimen.

Contohnya pada tahun 2013, usul oleh YB Penampang untuk membahaskan MA63 ditolak kerana tidak memenuhi syarat "perkara tertentu, berkepentingan awam, dan perlu disegerakan" seperti yang termaktub dalam Peraturan 18. Keputusan tersebut bukan penolakan terhadap isi MA63, tetapi berdasarkan prosedur Parlimen yang ketat dan adil kepada semua pihak. Malah, Pandikar sendiri pernah menyatakan bahawa sebagai Speaker, beliau tidak boleh menyertai perbahasan tetapi tetap sanggup berdebat secara terbuka di luar Parlimen jika ada yang mencabarnya.

Pandikar juga lantang menegur budaya politik Sabah yang sering menjadikan MA63 sebagai modal emosi semata-mata. Beliau berulang kali menekankan bahawa perjuangan sebenar untuk hak Sabah harus dilakukan melalui saluran undang-undang, pemahaman sejarah yang tepat, dan pendekatan yang menyatukan pemimpin Sabah, bukan melalui serangan politik atau retorik pemisahan.

Sebagai Presiden USNO, beliau aktif dalam forum-forum MA63 dan mendesak pemimpin pusat agar memahami dengan betul perjanjian tersebut. Dalam satu kenyataan tahun 2023, Pandikar menggesa pemimpin di Semenanjung agar membaca dokumen MA63, IGC Report dan laporan Cobbold agar keputusan dasar terhadap Sabah dibuat berasaskan ilmu, bukan main tangkap muat.

Pandikar juga pernah mendedahkan hasil lawatannya ke London dalam usaha mengkaji dokumen asal MA63 dan bagaimana pemimpin Sabah terdahulu mempertahankan hak seperti hasil cukai dan status autonomi. Beliau konsisten menekan kerajaan Persekutuan agar menunaikan janji-janji MA63 termasuk tuntutan 40% hasil negeri, royalti minyak dan autonomi pentadbiran.

Tindakan ini membuktikan bahawa beliau tidak pernah berdiam diri, bahkan memperjuangkan isu ini melalui pendekatan diplomasi, intelektual dan tindakan rasmi satu gaya kepimpinan yang matang dan bertanggungjawab.

Tuduhan Muslim Oli, bahawa Pandikar Amin tidak memperjuangkan MA63 adalah fitnah politik yang berpunca daripada salah faham atau mungkin sengaja disalah tafsir terhadap pendekatan yang lebih bersifat institusi dan ilmiah. Dalam sejarah perjuangan hak Sabah, Tan Sri Pandikar Amin bukan sekadar seorang tokoh politik; beliau adalah pemikir yang membawa isu MA63 keluar daripada gelanggang polemik sempit kepada pentas pemahaman mendalam.

Jika Musli Oli atau mana-mana pihak benar-benar jujur dalam memperjuangkan hak Sabah, mereka sepatutnya menyambut dan memperkukuh pendekatan seperti yang dibawa Pandikar bukan menjatuhkannya hanya kerana tidak mengikut skrip emosi yang biasa.

Tan Sri Pandikar Amin bukan pengkhianat MA63. Beliau adalah pejuang MA63 yang faham sejarah, hormat Perlembagaan dan memilih jalan yang bijak walaupun tidak popular demi memastikan Sabah mendapat apa yang dijanjikan dalam perjanjian Malaysia 1963. Perjuangan beliau bukan untuk sorakan hari ini, tetapi demi keadilan generasi Sabah akan datang.